Monday, April 2, 2012

Island Bay United (IBU) Tawar Ariff Kontrak


LANGKAH berani Muhd Ariff Zulkifly berkelana ke New Zealand menjalani ujian percubaan bersama Akademi Bola Sepak Ole membuahkan hasil apabila ditawar kontrak mewakili kelab Island Bay United (IBU) untuk beraksi dalam Liga Perdana New Zealand Central.

Biarpun hasrat utamanya untuk beraksi dalam liga utama negara itu, ASB Premiership tidak kesampaian, pemain berusia 19 tahun itu tetap menganggap peluang diberikan IBU itu tidak wajar dilepaskan jika mahu melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi.

“Saya dimaklumkan oleh Nate Winkel (Pengarah Akademi Ole) mengenai perkara ini dan kemudian sudah mengadakan perbincangan awal dengan kelab IBU. Mereka berminat selepas melihat saya beraksi dalam beberapa siri perlawanan persahabatan dan latihan bersama Ole.

“Walaupun IBU tidak beraksi dalam liga utama, bagi saya ini permulaan baik untuk menimba pengalaman serta meningkatkan prestasi sebelum mencuba nasib ke negara lain. Jika saya mempamerkan permainan baik bersama pasukan utama IBU dalam liga, saya yakin peluang ke Eropah juga cerah,” katanya yang mula menjalani latihan di Ole, awal Mac lalu.


Bagaimanapun bekas kapten skuad bawah 17 tahun negara itu belum boleh menandatangani kontrak bersama IBU memandangkan masih mempunyai komitmen bersama skuad Piala Presiden Selangor hingga Jun ini.

Ariff akan pulang ke tanah air pada 1 Mei bagi berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengenai kontraknya itu.
“Saya belum tahu dari segi tempoh dan gaji yang akan diberikan IBU kerana mereka mahu saya menyelesaikan kontrak dengan Selangor terlebih dulu,” kata pemain pertahanan itu yang bercita-cita besar beraksi di England.

Selain itu, Ariff juga mendapat perkhabaran gembira apabila ditawar peluang menjalani ujian selama dua hari bersama Liga Conference England, Luton Town FC pada 31 Mei ini.

“Saya belum pasti lagi sama ada akan menerima tawaran Luton itu kerana saya juga perlu memikirkan kos yang tinggi untuk ke sana,” katanya yang mendapat tajaan Mister Potato sebanyak RM14,000 untuk ke New Zealand itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...