TV ONLINE

Saturday, March 31, 2012

Jose Mourinho Nafi Akan Ambil Alih Manchester City




Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho menafikan sekeras-kerasnya laporan yang mendakwa beliau telah mencapai kata sepakat untuk mengambil alih jawatan selaku pengurus Manchester City pada akhir musim ini.
Satu laporan media di Sepanyol kelmarin mendakwa yang Mourinho telah bersetuju untuk mengantikan pengurus City, Roberto Mancini di Eastland pada musim panas ini.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Portugal itu masih memiliki kontrak di Santiago Bernabeu sehingga 2014.
"Saya menafikan yang saya atau orang- orang saya telah mencapai kata persetujuan dengan City," kata bekas pengurus Chelsea itu.
"Saya masih memiliki kontrak dan tidak perlu menjawab soalan tersebut."

Terdahulu, Mourinho dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Perdana England meskipun berjaya membantu Real muncul sebagai pendahulu Liga Sepanyol. Selain itu, Real dilihat tidak menghadapi masalah untuk mara ke peringkat separuh akhir pada kempen Liga Juara-Juara.
Namun, beliau sering kali mencetuskan kontroversi di Sepanyol dan mempunyai yang tidak baik dengan media.
Terbaharu, Mourinho dilayangkan kad merah selepas berang dengan keputusan pengadil yang mengarahkan Sergio Ramos dan Mesut Ozil dibuang padang ketika seri 1-1 menentang Villareal dalam saingan Liga Sepanyol baru- baru ini.
Mourinho, kakitangan kejurulatihan dan pemain Real dilaporkan tidak menghadiri sesi akhbar selepas perlawanan tersebut.

Chelsea Mahu Hazard £35 Juta, Tapi Mungkin Dapat Dengan Percuma


Chelsea antara berderet kelab Eropah yang mahukan perpindahan besar untuk pemain perancang Belgium,  Eden Hazard. Pemilik Blues, Roman Abramovich terdesak menyuntik kepantasan dan kekuasaan ke dalam skuadnya yang berusia.
 
Namun taikun Russia itu pasti berang mendengar bahawa beliau sebenarnya boleh berjimat jika mendapatkan Hazard empat tahun yang lalu. Pemain serangan ini dicadangkan kepada the Blues semasa kurang dikenali ketika berusia 17 tahun oleh peninjau bakat, Guy Hillion.
 
Mereka tidak bertindak dan Hazard kemudiannya menjadi antara prospek terhangat bola sepak Eropah.
 
"Saya perasan dia semasa dia berusia 17 tahun," kata Hillion.
 
"Saya memberikan namanya kepada Chelsea. Jika ia keputusan di tangan saya, maka dia akan bermain dalam jersi biru sekarang."

Thursday, March 29, 2012

FAS Mohon Maaf Insiden Penyokong Hina Francis Forkey Doe



Tiada drama berpanjangan atau sebarang tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila badan induk bola sepak negara itu menerima permohonan maaf Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) atas penghinaan berunsur perkauman terhadap pemain import Terengganu, Francis Forkey Doe.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, isu itu telah diselesaikan secara baik antara dua pihak dan tidak perlu dipanjangkan.

''FAM telah menghantar surat pada pagi ini (semalam) kepada FAS meminta penjelasan situasi sebenar yang berlaku kepada Francis Forkey.

''Kemudian, saya mendapat panggilan daripada Setiausaha Agung FAS, Winston Lee yang memohon maaf atas insiden itu dan memberitahu apa yang berlaku di luar kawalan mereka.

''Saya mewakili FAM telah menerima permohonan maaf dan tidak berhasrat melakukan apa-apa tindakan susulan," katanya ketika dihubungi, semalam.

p/s : alhamdulillah. kira dah setel la benda ni. xperlu nk dipanjang-panjangkn

Owen Tak Akan Ke Mana-mana



Michael Owen menegaskan dia mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun lagi, walaupun bermain hanya EMPAT perlawanan untuk Manchester United musim ini.
 
Owen, 32, yang diketepikan sejak November akibat ketegangan paha, berkata, "badan saya terasa seolah-olah ia boleh bermain dan fikiran saya juga mahu. Saya rasa saya masih ada baki dua atau tiga tahun lagi."
 
"Sesetengah pemain berjuang untuk bangun dari katil dan mengeluh tentang lutut atau Achilles mereka. Saya tak pernah sakit seperti itu."
 
"Mungkin pelik apabila mendengarnya kerana orang tahu saya cedera. Tapi, saya berasa hebat."
 
"Walaupun saya tak fikir saya akan menjadi antara pemain yang masih beraksi pada usia 37 atau 38."

Rezeki Khairul Fahmi Semakin Mencurah-curah



 Suratan atau kebetulan apabila penjaga gawang pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 23, dan gadis cantik, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau Leuniey terpilih sebagai model untuk produk kecantikan SimplySiti milik penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Khairul Fahmi atau Apek dan Leuniey terpilih sebagai model untuk iklan minyak wangi ‘SimplySiti Eau De Parfum’ yang ditawarkan dengan tiga jenis haruman iaitu Pure, Memoire dan Precious yang bakal ditayangkan di televisyen pertengahan April ini.


Pengurus Kanan Penjenamaan dan Pemasaran SimplySiti, Amiel Junita Nasir berkata, Khairul Fahmi dipilih sebagai ikon sukan khusus untuk minyak wangi berkenaan dan turut digandingkan dengan SM Zul Khalis SM Zulkifli daripada Naza Italia sebagai ikon usahawan muda dan Adam Yahya, Pengarah Ibex Group sebagai ikon pengurusan korporat.

“Ketiga-tiga mereka digandingkan bersama untuk tiga jenis minyak wangi SimplySity. Minyak wangi itu untuk wanita, tetapi kita tampilkan ikon lelaki untuk buat sesuatu kelainan,” katanya.

p/s : rezeki Apek mencurah-curah. Untung beliau :D

Wednesday, March 28, 2012

Keterlaluan dan Memalukan - Reaksi Dari PBSNT



''Keterlaluan dan memalukan."

 Itu yang disimpulkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) terhadap tindakan segelintir penyokong Singapura yang melemparkan penghinaan berunsur perkauman terhadap pemain importnya, Francis Forkey.

Yang Dipertua PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, insiden ketika aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Lions XII Selasa lalu di Stadium Jalan Besar, terbit daripada perwatakan tidak bertamadun.



Katanya, tindakan tersebut amat memalukan dunia sukan bola sepak, namun baginya perbuatan kelompok kecil itu tidak mencerminkan sikap keseluruhan penyokong di negara itu.


"Mengapa terlalu taksub menyokong pasukan sendiri sehingga sanggup mencaci seumpama itu apatah lagi melibatkan isu-isu perkauman.

Monday, March 26, 2012

AVB Bakal Kembali Ke Porto



Andre Villa-Boas bakal mengadakan kepulangan sensasi ke Porto.
AVB telah dipecat oleh Chelsea awal bulan ini namun mungkin boleh terus kembali ke kelab yang ditinggalkannya hampir setahun yang lalu untuk mengambilalih jawatan pengurus di Stamford Bridge.

Pengerusi Porto, Pinto da Costa sentiasa berhubung dengan  Villas-Boas selepas pengurus muda ini menghadiahkan kejuaraan liga Portugal dan Liga Eropah musim lepas untuk kelab.
Porto menjadi pasukan pilihan untuk sekali lagi menjuarai liga namun Vitor Pereira ada tekanan yang amat tinggi.

Sekiranya beliau dipecat, AVB akan menjadi sasaran utama mereka. Inter Milan turut dikaitkan dengan pengurus berusia 34 tahun itu berikutan pencapaian buruk di bawah seorang lagi bekas pengurus Chelsea,  Claudio Ranieri.

Saturday, March 24, 2012

Samir Nasri Mahu United Menang Enam Baki Perlawanan


Samir Nasri sedia menerima Manchester United menang enam perlawanan mereka yang seterusnya – bagi menampilankan aksi 'final' Liga Perdana pada 30 April.

Manchester City berada satu mata di belakang juara bertahan itu dengan hanya baki sembilan perlawanan untuk dimainkan dan membentuk apa yang dijanjikan satu persaingan epik merebut gelaran.

Midfielder Sky Blues, Nasri membantu pasukannya mengekalkan tekanan terhadap pasukan jiran, United hasil gol kemenangan lewat menentang Chelsea di Etihad pada malam Rabu lalu.

Namun dua kelab besar bola sepak itu dijadualkan bertemu sesama sendiri di Etihad tiga perlawanan sebelum musim tamat dalam kemungkinan pertembungan penentuan kejuaraan pada Isnin, 30 April.




Bekas bintang Arsenal, Nasri berkata: "Bangkit daripada ketinggalan untuk tewaskan Chelsea merupakan petanda kepada United yang kami ada di sini dan akan di sini sehingga penamat.

"Anda tahu tak, saya harap mereka menang semua perlawanan mereka dan kami menang semua perlawanan kami, supaya kami boleh bertemu dalam aksi 'final' di sini.

"Ia akan jadi sesuatu yang bagus buat peminat – buat kami juga. Ia akan jadi lebih menarik buat semua orang jika mereka menang semua perlawanan mereka. Saya tahu Manchester United akan berada di kelompok teratas sehingga penamatnya." 


Demba Ba dan Air Rahsianya


MINUMAN yang menjana keupayaan penyerang Newcastle, Demba Ba musim ini kini boleh didapati di Tyneside apabila kelab itu mengimport berbotol minuman dari selatan Perancis untuk dijual di kedai mereka. Ba tidak pernah menyembunyikan rahsia di sebalik kejayaan menjaringkan banyak gol musim ini dan mendedahkan beberapa kali minatnya terhadap minuman sirap strawberi.

Tabiat pelik sebelum perlawanan itu ditunjukkan di sebuah laman web sebulan lalu ketika Ba memberi peluang kepada pengacara untuk mencuba sirap itu yang hanya dicampurkan dengan air. Mereka sukakannya. Malah, minuman itu mempunyai peminat tersendiri. Jumlah yang begitu banyak mendorong Newcastle untuk mengimport minuman itu dari selatan Perancis.

Sejak menyertai kelab itu, Ba mengimport minuman itu untuk dirinya sendiri tetapi Newcastle membantunya dengan mengesan syarikat berkenaan dan meminta minuman itu dihantar ke Tyneside.

Ia akan dihantar dan dijual di kedai kelab itu dan Shearer’s Bar pada masa akan datang.


“Saya sukakan minuman ini dan membeli beberapa botol untuk diri sendiri memandangkan saya tidak boleh mendapatkannya di Newcastle.

“Biasanya, saya meminta keluarga membawa beberapa botol setiap kali mereka datang melawat kerana saya meminumnya setiap hari.

“Kini penyokong kami boleh mencubanya sendiri dan diharapkan mereka juga sukakannya,” kata bintang Senegal itu.

Pengarah peruncitan Newcastle, Stuart Middlemiss berkata, ramai penyokong bertanya di mana mereka boleh mendapatkan sirap ini dan mereka mula mencarinya.

“Mujur kami berjaya mendapatkan beberapa botol daripada pengilang di Perancis, kini penyokong boleh datang dan lihat sama ada mereka sukakannya seperti Demba,” katanya.

Monday, March 19, 2012

Mat Zan Mat Aris Bimbang Gelagat Penyu


 Biarpun tersenyum selepas menyaksikan anak- anak buahnya berjaya membenam Sabah dengan jaringan besar 6-3 kelmarin, namun masih ada persoalan yang menggusarkan Mat Zan Mat Aris.Mat Zan berkerut dahi apabila memikirkan anak buahnya masih begitu mudah hilang konsentrasi, terutama selepas mendahului lawan dengan beberapa gol.

"Awak boleh tengok sendiri macam mana kan? Bila dah ke depan 3-0, mereka (pemain Terengganu) mula ambil mudah dan membiarkan lawan bebas bergerak.

"Sehinggakan satu ketika kita hanya mendahului dengan kelebihan satu gol (4-3) walaupun mendahului lawan dengan tiga gol sebelum itu.

"Bagaimanapun keseluruhannya, saya berpuas hati apabila mereka mampu bangkit dan menjaringkan gol lagi untuk kita menang dengan keputusan 6-3," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan kelmarin.

Sunday, March 18, 2012

Kelantan Akan Tetap Bina Stadium Baru

Kelantan bakal memiliki dua stadium baru selain Stadium Sultan Muhammad ke-IV Kota Bharu, Kelantan. 

Kerajaan negeri Kelantan akan meneruskan pembinaan sebuah stadium bola sepak di Bukit Merbau, Pasir Puteh meskipun Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) juga merancang membina fasiliti serupa bernilai RM300 juta di Bandar Baru Tunjong di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood berkata, pembinaan stadium oleh KAFA adalah sangat dialu-alukan kerana ini bermakna negeri ini bakal memiliki tiga stadium termasuk Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang akan merancakkan lagi pembangunan sukan bola sepak tempatan.

"Kita sebenarnya sangat bangga dengan pengumuman KAFA itu dan bersedia memberi apa-apa sokongan dan bantuan teknikal yang diperlukan untuk pembinaan stadium tersebut kerana kerajaan negeri tidak pernah berniat menghalang sebarang usaha pembangunan yang dibuat mana-mana pihak.

"Dalam masa sama, kita tidak akan hentikan perancangan kita di Bukit Merbau kerana mempunyai banyak stadium adalah sesuatu yang baik sebagaiamana contoh bandar raya Seoul, Korea Selatan yang mempunyai kira-kira 10 stadium.



"Kita yakin dengan adanya stadium yang banyak, pelbagai kejohanan mampu dibawa ke Kelantan dan sekali gus melonjakkan semangat rakyat kepada sukan terutamanya bola sepak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pada majlis Anugerah Cakna Rakyat 2011 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini baru-baru ini.Abdul Fatah diminta mengulas kerjasama KAFA dengan sebuah syarikat pembinaan untuk membina stadium berharga RM300 juta di atas tanah milik Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V seluas lapan hektar di Tunjong dekat sini.

Sementara itu, Abdul Fatah berkata, pihaknya berharap proses penambahbaikan kecerahan lampu limpah daripada 900 lux kepada 1,200 lux di Stadium Sultan Muhammad ke-IV akan dapat disempurnakan menjelang perlawanan seterusnya saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada April ini.



Katanya, stadium bagi pasukan The Red Warriors tersebut sebenarnya sudah menepati beberapa spesifikasi yang ditetapkan pihak AFC seperti mempunyai keadaan padang terbaik dan bilik pemain berhawa dingin, sekali gus boleh menjadi tuan rumah untuk perlawanan antarabangsa pada waktu siang hari.

"Kita tidak ada masalah untuk perlawanan sebelah petang dan saya difahamkan perlawanan pertama antara Kelantan dan pasukan Navibank Saigon itu pun diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kerana permintaan kelab Vietnam itu.

"Namun kita tetap berusaha menyiapkan lampu limpah dengan kecerahan yang ditetapkan AFC, sedikit masa diperlukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak sanggup melaksanakannya dalam jangka waktu kurang empat bulan kerana perlu membina beberapa struktur baru," katanya.


Nama Abdelfatah Safi Semakin Jadi Sebutan


Kelibat Abdelfatah Safi mungkin masih belum dikenali ramai peminat Liga Super, namun kelincahannya ketika beraksi memikat hati penyokong Skuad Kenari yang kian menjadi sebutan tambahan pula kepintarannya di barisan tengah jelas mempunyai kesan berbeza.



Adunan pemain tempatan dan import yang dipilih Ketua Jurulatihnya, Wan Jamak Wan Hassan seperti membuahkan hasil apabila Abdelfatah tidak perlu menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Hijau Kuning kerana sudah menjaringkan dua gol setakat ini.


Khidmat awang import baru Skuad Kenari itu pastinya ditagih oleh pasukan dan juga penyokong selepas dua pemain Brazil iaitu Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo (Danilo) dan Daniel Soares Neves (Baroni) dikatakan gagal mempersembahkan aksi diharapkan.


Namun, tidak adil jika pengkritik sukan ataupun penyokong membandingkan ayam tambatan baru negeri jelapang padi ini dengan dua pemain import yang terdahulu iaitu Marlon Alex James mahupun Nelson Sam Martin kerana masih terlalu awal untuk menilai.


Bagi Abdelfatah, 30, dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang digunakan oleh Skuad Kenari kerana jurulatih dan rakan sepasukan banyak membantunya.

“Di samping itu, setiap kali berlatih, saya akan memberi fokus yang tinggi bagi membolehkan saya belajar dengan cepat rentak permainan di sini, sekali gus dapat membantu rakan sepasukan lain untuk mempersembahkan aksi cemerlang.

“Pada mulanya, memang diakui agak kekok bermain dalam suasana baru dengan tempo permainan yang berbeza jika dibanding dengan kelab lama namun sebagai pemain profesional, kita perlu cepat untuk mengadaptasi keadaan dan menyesuaikan diri,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Abdelfatah berkata, dalam setiap permainan, dia akan cuba mempertingkatkan aksinya dan mempersembahkan yang terbaik untuk pasukan dan peminat kerana mengetahui bahawa pasukan Hijau Kuning mempunyai peminatnya yang tersendiri. Dia yang juga rakyat Perancis berdarah Maghribi itu menambah bahawa pengalamannya bermain dengan kelab di beberapa negara sebelum ini antaranya Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu banyak membantunya dalam menyesuaikan diri.

Menurutnya, dia tidak begitu mengharapkan pencapaian peribadi sebaliknya yang lebih utama adalah sumbangannya dapat memberi kesan kepada mutu permainan pasukan sekali gus dapat mencipta kemenangan.


Friday, March 16, 2012

Gerrard Inspirasi Kami - Liverpool



Sentuhan istimewa kapten Steven Gerrard menjadi inspirasi Liverpool bagi memburu slot separuh akhir Piala FA.
Malam esok, skuad The Reds itu akan menanti kunjungan Stoke City pada pusi- ngan keenam Piala FA di Anfield.Menjelang pertemuan itu, Liverpool sekali lagi menagih sentuhan Gerrard yang meledak hatrik bagi membantu Liverpool membenam Everton 3-0 pada aksi Liga Perdana England di Anfield, Rabu lalu.
Kejayaan tersebut sekali gus memadam kekecewaan Liverpool yang tewas dua perlawanan liga berturut-turut iaitu kepada Arsenal dan Sunderland sebelum itu.
Tatkala trofi liga sudah semakin jauh daripada radar mereka, Liverpool kini boleh memberi tumpuan memburu Piala FA selepas kejayaan menjulang Piala Liga bulan lalu.

Tonggak veteran, Jamie Carragher berkata, corak permainan yang dipamerkan Gerrard ketika menentang Everton membuktikan betapa kapten The Reds itu layak untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik Liverpool.
"Saya rasa orang ramai masih belum sedar dengan kehebatan Steven.
"Bagaimanapun, ia tetap sukar baginya kerana dia telah menghabiskan kariernya bersama satu kelab sahaja.
"Ini kerana para penyokong Liverpool tetap akan melihatnya sebagai pemain muda dan sering mengingati masalah yang pernah dihadapinya.
"Apabila Gerrard sudah tiada, mereka akan mula mencari seorang pemain yang boleh menggantikan tempatnya," kata Car- ragher lagi.
Beliau menambah, pemain-pemain yang pernah beraksi bersama Gerrard juga pastinya tidak akan merungut jika tonggak tengah England tersebut dijulang sebagai pemain terbaik Liverpool.

Thursday, March 15, 2012

‘Tiada sebab kami bermusuh’ - Mikel Arteta



Mikel Arteta percaya tidak ada sebab penyokong Everton akan melayannya dengan buruk apabila dia kembali ke Goodison Park minggu depan meskipun perpindahan ke Arsenal mengundang rasa tidak puas hati di kalangan mereka.


Arteta, pemain tengah Gunners, menamatkan karier selama lebih enam tahun sebagai pemain Toffees musim ini apabila dia mengemukakan permohonan perpindahan sejam sebelum tempoh perpindahan ditutup Ogos lalu.

Perpindahan saat akhir itu menghalang Everton daripada membelanjakan wang 10 juta (RM47.8 juta) yang mereka peroleh daripada penjualan pemain bintang itu sehingga masuk tahun ini sekali gus mengundang kemarahan penyokong.


Namun Arteta berharap mereka dapat memaafkannya sebaliknya mengenang kembali jasa yang dicurahkannya kepada kelab itu sebelum ini.

Dia berkata: “Saya tidak sabar untuk beraksi di sana dan saya harap saya akan mendapat layanan baik kerana saya memberikan segala-gala kepada Everton sepanjang beraksi bersama kelab itu.


“Tidak ada sebab untuk kami semua bermusuh antara satu sama lain.” 

Van Persie Gaduh Dengan Tim Krul


Arsene Wenger bimbang Robin van Persie boleh dibuang padang selepas pertelingkahan panas dengan penjaga gol Toon, Tim Krul.
 
Kedua-dua pemain yang merupakan rakan sepasukan dalam skuad Belanda itu terlibat dalam perang mulut yang panas selepas Thomas Vermaelen menjaringkan gol kemenangan dramatik lewat perlawanan di minit ke 95.



Pengurus Arsenal,  Wenger memberitahu: "Saya lega Robin kekal dengan kad kuning dan bukan kad merah. Saya tak tahu jika ada cerita dari Belanda dengan Krul atau ia hanya cerita hari ini. Mereka nampak gementar sepanjang perlawanan.
 
"Namun Robin sekali lagi memberikan segala-galanya dan kesungguhan kami tiada batasan. Kami terus berusaha hingga detik akhir."
 
Kapten Gunners, RVP dan Krul meneruskan pergaduhan mereka menuju ke terowong pemain selepas kedua-duanya dikenakan kad sebelum wisel penamat ketika Arsenal merapatkan jurang dengan pasukan di tempat ketiga, Tottenham dengan hanya satu mata.

'Jangan baling objek ke padang' - PBSNT



“JAGA tingkah laku dan jaga nama baik pasukan negeri.”

Itu peringatan yang disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh kepada penyokong skuad Penyu menjelang perlawanan kedua Kumpulan F menentang kelab Hong Kong, Kitchee FC dalam aksi Piala AFC minggu depan.
Menurut Che Mat, sebarang perbuatan ataupun tindakan tidak terkawal yang dilakukan penonton tuan rumah seperti membaling objek ke padang hanya akan memberi kesan buruk kepada PBSNT.
Katanya, PBSNT boleh dikenakan denda oleh AFC sebanyak USD5,000 (RM15,915) bagi setiap objek yang dilemparkan ke padang dan situasi itu jika berlaku pastinya merugikan bola sepak Terengganu.
“Piala AFC merupakan kejohanan berprestij dan atas sebab itu, pihak penganjur menetapkan peraturan ketat kepada setiap tuan rumah yang menganjurkan perlawanan ini.
“Kawalan ketat oleh pihak polis bersama pasukan keselamatan juga akan diadakan di setiap pintu masuk stadium bagi memastikan penonton tidak membawa sebarang objek berbahaya,” katanya selepas mengadakan taklimat khas kepada media di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu semalam.
Justeru, Che Mat berharap para penonton dapat memberikan kerjasama dalam memastikan kelancaran perlawanan selain menjaga nama baik pasukan dan negeri.
“Kita tidak mahu hanya kerana perkara kecil sebegini pihak persatuan atau kerajaan negeri yang terpaksa tanggung. Saya hormati kehadiran penonton kerana kejayaan pasukan negeri banyak didorong oleh sokongan daripada mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan PBSNT, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof memaklumkan bahawa tiket bagi perlawanan Piala AFC antara Terengganu dan Kitchee FC pada 20 Mac ini ditetapkan sebanyak RM30 bagi tempat duduk berbumbung dan RM15 bagi tempat duduk terbuka.
“Penonton boleh membeli tiket perlawanan di pintu stadium bermula 19 Mac ini sehingga ke hari perlawanan,” jelasnya yang juga pegawai media Piala AFC.
Terengganu yang layak buat pertama kali pada saingan Piala AFC tahun ini diundi dalam Kumpulan F bersama kelab Kitchee FC, Song Lam Nghe An dari Vietnam dan gergasi Singapura, Tampines Rovers.
Pada perlawanan pembukaan di Stadium Vinh minggu lalu, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Song Lam 1-0.

Friday, March 9, 2012

Bukan salah Villas Boas - John Terry

" Why always me ? " - Villa Buass

 Kapten Chelsea, John Terry mengaku dia dan rakan sepasukan patut dipersalahkan berikutan pemecatan Andre Villas-Boas selepas tidak sampai lapan bulan mengemudi kelab itu.

Jurulatih dari Portugal itu menjadi pengurus terkini Chelsea yang dipecat pemilik kelab, Roman Abramovich selepas rentetan keputusan hambar menyaksikan kelab itu gagal berada dalam kelompok empat teratas dan hampir tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.Penyingkiran Villas-Boas dilakukan selepas dakwaan wujud ketegangan di bilik persalinan dengan pemain senior Chelsea secara terbuka mempersoal taktik dan pemilihan senarai pemain kesebelasan utama.

Namun Terry mengaku prestasi buruk pemain Chelsea adalah punca kekalahan pasukan.


“Sedih buat Andre kerana malangnya beliau terpaksa menanggung semua kesalahan seorang diri. Semua pemain sepatutnya perlu sama-sama mengaku kesilapan.


“Beliau mempunyai pemikiran luas tapi malangnya terpaksa meninggalkan kelab ini,” kata Terry.

Terry yang baru pulih daripada kecederaan lutut dan kembali ke bangku pemain simpanan Selasa lalu pada kempen Piala FA yang menyaksikan Chelsea menewaskan Birmingham, 2-0 menghadiahkan kemenangan itu kepada Roberto Di Matteo, Eddie Newton dan Villas-Boas.

p/s : Nasib kau lah AVB.

Tuesday, March 6, 2012

Carl Jenkinson dan Bilik Tidurnya Yang Bertemakn Gunners


Carl Jenkinson membuat permulaan yang baik di Emirates. Mempunyai ketinggian dan kepantasan yang mampu menjadikan nya pemain terbaik. Mungkin pengalaman nya belum cukup luas setakat ini.

Jenkinson sememangnya peminat sejati Arsenal. Mana tidak nya, bilik tidur nya saja dihias dengan bertemakan Gunners. 



Raael Benitez bocor rahsia



Rafael Benitez (gambar) mendedahkan keinginan untuk membimbing sebuah kelab terbaik di dunia, sekali gus mampu memenangi trofi.Bagaimanapun, bekas pengurus Liverpool dan Inter Milan itu tidak menyuarakan minat untuk mengganti- kan tempat Andre Villas- Boas di Chelsea.
Skuad The Blues membuat keputusan mengejut dengan memecat Villas-Boas pada Ahad lalu selepas pasukan itu tewas 0-1 kepada West Bromwich Albion.Kekalahan itu menyebabkan Chelsea ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal dalam perebutan tempat keempat pada saingan Liga Perdana England.
Benitez dilaporkan telah menghadiri satu temu duga untuk jawatan itu minggu lalu.
Bagaimanapun, perbincangan tersebut gagal mencapai kata putus selepas pengurus kelahiran Sepanyol itu enggan menerima kontrak jangka pendek sehingga akhir musim ini.Selepas Roberto Di Mat- teo dilantik menjadi pengurus sementara, Benitez masih lagi dianggap sebagai calon terbaik apabila pelantikan tetap di buat pada musim panas ini.
"Pada masa depan, saya mahu membimbing sebuah kelab terbaik dunia, kelab yang mampu memenangi gelaran dan memberi cabaran," kata Benitez kelmarin.
"Itu adalah impian saya apabila saya datang ke Liverpool. Begitu juga dengan Inter dan Valencia. Pengalaman saya adalah dalam kempen Liga Juara-Juara, memberi cabaran dan berusaha untuk memenangi banyak trofi."
Benitez dianggap sebagai pilihan terbaik berikutan kejayaannya membimbing penyerang Sepanyol, Fernando Torres ketika di Liverpool sebelum ini.
"Ketika ditanya hubungannya dengan Torres, Benitez berkata: "Saya berasa sangat gembira bersama Tor- res ketika di Liverpool. Ia adalah detik yang menakjubkan untuk kelab, Torres dan semua orang. Torres adalah pemain berkelas dunia dan dia akan bermain dengan baik."
Benitez tidak terikat dengan mana- mana kelab selepas meninggalkan Inter pada Disember 2010.Meskipun simpati dengan nasib Villas-Boas, beliau berkata, budaya pemecatan adalah yang terburuk dalam saingan Liga Perdana England.

Monday, March 5, 2012

Satu Mata Sudah Memadai - Terengganu


Keyakinan memuncak kini dirasai para pemain Terengganu yang akan membuat penampilan sulung pada kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) malam ini.Tampil selaku juara Piala FA, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu dijadualkan menentang kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An pada aksi pembuka tirai Kumpulan F di Stadium Vinh.Bagaimanapun, ramalan awal ketika ini jelas memihak kepada Song Lam berdasarkan reputasi tuan rumah itu selaku juara Liga Vietnam (V-League), selain akan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Justeru, Mat Zan lebih berminat untuk bersikap realistik dengan menggangap satu mata yang diraih dari gelanggang lawan sudah memadai buat pasukannya.
"Ini adalah penampilan pertama kami pada Piala AFC dan sudah pasti ia memberi cabaran berbeza kepada para pemain.
"Malah, dengan jadual padat yang terpaksa kami lalui sepanjang bulan ini, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kecergasan pemain," kata Mat Zan kepada Kosmo!
Mat Zan yang mula membim- bing Terengganu awal musim ini turut mengakui kemampuan kelab dari Vietnam itu.Katanya, corak permainan bola sepak di Vietnam yang agak pantas menyebabkan barisan pemainnya berada pada kecergasan terbaik sepanjang 90 minit permainan.
"Sasaran awal kami pada Piala AFC adalah untuk melepasi peringkat kumpulan dan mara ke pusingan kedua.
"Jadi, saya cuma mengharap- kan para pemain dapat menge- kang setiap asakan lawan untuk kami membawa pulang satu mata sekurang-kurangnya," jelasnya lagi.

Untuk rekod, Song Lam yang merupakan juara Piala Super musim lalu kini menduduki tangga kelima dalam kempen Liga Vietnam, manakala Terengganu berada di kedudukan kedua dalam saingan Liga Super.Musim lalu, kelab dari Vietnam itu berjaya melepasi aksi peringkat kumpulan Piala AFC sebelum tewas kepada kelab Indonesia, Persipura Jayapura pada pusingan kedua.
Menurut Mat Zan lagi, beliau kini mengharapkan barisan serangan pasukannya yang diketuai penyerang berbisa, Francis Forkey Doe mampu menghasilkan sesuatu pada perlawanan malam ini.
"Sentuhan Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya juga begitu ditagih bagi memberi sesuatu kepada pasukan pada saingan Piala AFC msuim ini," ujarnya.
Selain Terengganu dan Song Lam, kelab Hong Kong, Kitchee dan Tampines Rovers dari Singapura turut bersaing dalam Kumpulan F.

Friday, March 2, 2012

Gergasi Merah tekad benam Kedah


Rekod cemerlang Selangor ketika menentang Kedah menjadi azimat buat pengendali Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim.
Berdasarkan rekod dalam saingan Liga Super musim lalu, Selangor berjaya menewaskan Kedah 2-0 pada aksi di laman sendiri dan di gelanggang lawan. Justeru, Irfan berharap skuad kendaliannya dapat meneruskan rentak kemenangan ke atas Kedah apabila kedua-dua pasukan itu bertembung di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
“Rekod Selangor ketika bertemu Kedah setakat ini masih baik berdasarkan dua pertemuan musim lalu dalam Liga Super.

“Saya mahukan pemain-pemain saya meneruskan rekod tersebut pada perlawanan malam esok (malam ini).
“Begitupun, saya berharap para pemain tidak memandang mudah kemampuan Kedah selepas jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan kembali mengemudi pasukan itu.
“Kita dapat saksikan peningkatan Kedah terutama daripada segi psikologi sejak Wan Jamak kembali,” kata Irfan Bakti kepada Kosmo! semalam.
Ditanya mengenai Selangor yang dilihat mula bergantung kepada awang import baharu, Bosko Balaban, Irfan menepis dakwaan tersebut dengan mengatakan kehadiran penyerang yang berasal dari Croatia itu sebagai ‘suntikan semangat’ buat pasukannya. Biarpun mengakui jentera serangan Selangor semakin mantap selepas kehadiran Balaban, namun Irfan tetap menganggap kejayaan Gergasi Merah ketika ini adalah hasil daripada kerja berpasukan.
“Kami tidak hanya bergantung kepada Balaban, tetapi kehadiran Balaban memberikan kami satu semangat kepada pasukan.
“Kami beraksi sebagai satu pasukan. Benar sebelum ini kami memiliki masalah serangan, tetapi dengan kehadiran Balaban, Amri (Yahyah) juga sudah mula menjaringkan gol.
“Jadi, tidak benar untuk mengatakan Selangor terlalu bergantung kepada seorang pemain sahaja,” ujarnya.

Manchester United resah sentuhan Saha


Pengurus Manchester United, Alex Ferguson bimbang bekas penyerangnya, Louis Saha mampu menjadi pemusnah buat The Red Devils.
Isnin depan, United akan menanti kunjungan Tottenham Hotspur di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana England. Saha sebelum ini pernah menyarung jersi United pada Januari 2004 apabila dibeli dari Fulham dengan yuran perpindahan sebanyak £12.8 juta (RM61.2 juta).
Walaupun sering dibelenggu masalah kecederaan, penyerang Perancis berusia 33 tahun itu masih mampu meledak 42 gol dalam 124 penampilannya bersama The Red Devils.
"Saha memang pemain yang hebat. Dia memiliki kemampuan meledak gol dengan menggunakan kedua-dua kaki, kepantasan dan kawalan bolanya di udara juga menakjubkan.
"Jika Saha tidak dikawal ketat, sudah tentu kami berdepan masalah," kata Ferguson.
Saha sebelum ini dijual ke Everton sebelum secara mengejut dia berhijrah ke Spurs menerusi pinjaman ketika jendela perpindahan dibuka Januari lepas. Penghijrahan itu ternyata berbaloi apabila Saha meledak dua gol ketika Spurs membelasah Newcastle United 5-0. Dia juga membuka tirai jaringan ketika Spurs tewas 2-5 kepada Arsenal baru-baru ini.
"Saya benar-benar mengenalinya, Saha memang pemain yang berbakat cuma jarang diberikan peluang beraksi kerana sering dilanda kecederaan.
"Kehadiran Saha pastinya lebih memberikan impak buat Spurs yang telahpun memiliki rangkaian penyerang yang hebat seperti Gareth Bale, Rafael van der Vaart, Jermain Defoe dan juga Adebayor.
"Jika kami berjaya menewaskan pasukan seperti Spurs, peluang kami menjulang trofi liga sememangnya cukup cerah," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...