Sunday, March 18, 2012

Nama Abdelfatah Safi Semakin Jadi Sebutan


Kelibat Abdelfatah Safi mungkin masih belum dikenali ramai peminat Liga Super, namun kelincahannya ketika beraksi memikat hati penyokong Skuad Kenari yang kian menjadi sebutan tambahan pula kepintarannya di barisan tengah jelas mempunyai kesan berbeza.



Adunan pemain tempatan dan import yang dipilih Ketua Jurulatihnya, Wan Jamak Wan Hassan seperti membuahkan hasil apabila Abdelfatah tidak perlu menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Hijau Kuning kerana sudah menjaringkan dua gol setakat ini.


Khidmat awang import baru Skuad Kenari itu pastinya ditagih oleh pasukan dan juga penyokong selepas dua pemain Brazil iaitu Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo (Danilo) dan Daniel Soares Neves (Baroni) dikatakan gagal mempersembahkan aksi diharapkan.


Namun, tidak adil jika pengkritik sukan ataupun penyokong membandingkan ayam tambatan baru negeri jelapang padi ini dengan dua pemain import yang terdahulu iaitu Marlon Alex James mahupun Nelson Sam Martin kerana masih terlalu awal untuk menilai.


Bagi Abdelfatah, 30, dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang digunakan oleh Skuad Kenari kerana jurulatih dan rakan sepasukan banyak membantunya.

“Di samping itu, setiap kali berlatih, saya akan memberi fokus yang tinggi bagi membolehkan saya belajar dengan cepat rentak permainan di sini, sekali gus dapat membantu rakan sepasukan lain untuk mempersembahkan aksi cemerlang.

“Pada mulanya, memang diakui agak kekok bermain dalam suasana baru dengan tempo permainan yang berbeza jika dibanding dengan kelab lama namun sebagai pemain profesional, kita perlu cepat untuk mengadaptasi keadaan dan menyesuaikan diri,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Abdelfatah berkata, dalam setiap permainan, dia akan cuba mempertingkatkan aksinya dan mempersembahkan yang terbaik untuk pasukan dan peminat kerana mengetahui bahawa pasukan Hijau Kuning mempunyai peminatnya yang tersendiri. Dia yang juga rakyat Perancis berdarah Maghribi itu menambah bahawa pengalamannya bermain dengan kelab di beberapa negara sebelum ini antaranya Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu banyak membantunya dalam menyesuaikan diri.

Menurutnya, dia tidak begitu mengharapkan pencapaian peribadi sebaliknya yang lebih utama adalah sumbangannya dapat memberi kesan kepada mutu permainan pasukan sekali gus dapat mencipta kemenangan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...