TV ONLINE

Friday, March 2, 2012

Manchester United resah sentuhan Saha


Pengurus Manchester United, Alex Ferguson bimbang bekas penyerangnya, Louis Saha mampu menjadi pemusnah buat The Red Devils.
Isnin depan, United akan menanti kunjungan Tottenham Hotspur di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana England. Saha sebelum ini pernah menyarung jersi United pada Januari 2004 apabila dibeli dari Fulham dengan yuran perpindahan sebanyak £12.8 juta (RM61.2 juta).
Walaupun sering dibelenggu masalah kecederaan, penyerang Perancis berusia 33 tahun itu masih mampu meledak 42 gol dalam 124 penampilannya bersama The Red Devils.
"Saha memang pemain yang hebat. Dia memiliki kemampuan meledak gol dengan menggunakan kedua-dua kaki, kepantasan dan kawalan bolanya di udara juga menakjubkan.
"Jika Saha tidak dikawal ketat, sudah tentu kami berdepan masalah," kata Ferguson.
Saha sebelum ini dijual ke Everton sebelum secara mengejut dia berhijrah ke Spurs menerusi pinjaman ketika jendela perpindahan dibuka Januari lepas. Penghijrahan itu ternyata berbaloi apabila Saha meledak dua gol ketika Spurs membelasah Newcastle United 5-0. Dia juga membuka tirai jaringan ketika Spurs tewas 2-5 kepada Arsenal baru-baru ini.
"Saya benar-benar mengenalinya, Saha memang pemain yang berbakat cuma jarang diberikan peluang beraksi kerana sering dilanda kecederaan.
"Kehadiran Saha pastinya lebih memberikan impak buat Spurs yang telahpun memiliki rangkaian penyerang yang hebat seperti Gareth Bale, Rafael van der Vaart, Jermain Defoe dan juga Adebayor.
"Jika kami berjaya menewaskan pasukan seperti Spurs, peluang kami menjulang trofi liga sememangnya cukup cerah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...