TV ONLINE

Wednesday, February 29, 2012

Cardiff City Sedia Hulur Bantuan Untuk Memajukan Bola Sepak Malaysia




CARDIFF, Wales – Program pembangunan bola sepak negara perlu diberi nafas baharu dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berkualiti pada masa depan.
Selain mendapat pendedahan yang secukupnya, barisan pemain muda perlu mempelajari aspek-aspek penting dalam bola sepak dengan mengikuti latihan yang berjadual, komprehensif dan sistematik.
Pengurus Akademi Kelab Bola Sepak Cardiff City, Neal Ardley yakin pemain-pemain Malaysia mampu bermain di peringkat yang lebih tinggi sekiranya aspek pembangunan akar umbi dipertingkatkan.
“Di sini (Akademi Cardiff City), terdapat seramai 127 pemain muda menjalani latihan dalam program elit kami,” kata Ardley kepada pemberita Malaysia di Universiti Glamorgan Sport Park di Treforest, selatan Wales semalam.
“Situasi tersebut tidak berlaku dalam tempoh sehari, tetapi kami mengambil masa lima tahun untuk mencapainya. Ia diperoleh menerusi program latihan remaja yang kami gunakan di akademi ini.

Pembangunan bola sepak haruslah bermula dari peringkat akar umbi
“Perkara yang paling penting adalah memberi peluang kepada golongan kanak-kanak bermain dan meluangkan waktu bermain secara berjadual.
“Setiap tahun, seramai 50,000 pemain akan mengikuti program latihan kami di beberapa buah sekolah di selatan dan tengah Wales. Setiap program dikendalikan oleh jurulatih dan skuad peninjau kami.
“Semakin ramai kanak-kanak bermain bola sepak, semakin ramai pemain berbakat yang akan kita peroleh.”
Ardley yang meluangkan masa selama 11 hari untuk mengendalikan klinik kejurulatihan di seluruh Malaysia tahun lalu berkata, tunjuk ajar jurulatih adalah aspek yang paling penting dalam meningkatkan pembangunan bola sepak negara.
“Menjadi seorang jurulatih yang baik adalah perkara yang sukar sangat sukar untuk dicapai. Ilmu ini akan diperoleh dalam satu tempoh yang panjang dan barisan jurulatih ini perlu dididik secara berterusan.
“Ketika saya berada di Malaysia, saya melihat bahawa jurulatih remaja yang ada sangat ghairah tentang permainan tetapi mereka tidak mempunyai teknik yang betul untuk mengajar pemain dalam kumpulan umur ini.”
Menurut Ardley, edisi kedua Liga Bola Sepak Bawah 12 Tahun 1Malaysia Cardiff City (1MCC) yang akan bermula di Sungai Buloh pada 3 Mac ini dianggap sebagai medan terbaik untuk mencungkil bakat-bakat pemain muda.
Menerusi kejohanan itu juga para pemain yang dikenal pasti akan diberi peluang untuk menjalani ujian percubaan di Akademi Cardiff.

Sebanyak 32 kelab bola sepak, termasuk dua pasukan dari Pulau Pinang dan satu dari Perak akan berentap pada kejohanan tersebut.
Dalam masa yang sama, Ardley berkata, peluang pemain Malaysia untuk beraksi bersama Cardiff agak sukar disebabkan beberapa faktor.
Jelasnya, dua faktor utama yang menghalang pemain tempatan untuk ‘melebarkan’ sayap ke Eropah adalah masalah permit kerja dan kedudukan skuad kebangsaan Malaysia dalam ranking dunia.
Meskipun memenuhi kriteria untuk beraksi dalam liga domestik di England, dua masalah itu akan menyekat hajat langkah mana-mana pemain negara.
Itulah yang berlaku kepada dua pemain negara - Mohd. Safee Sali dan Safiq Rahim yang pernah menjalani sesi ujian bersama kelab Liga Kejuaraan England itu.
Bagaimanapun, Ardley yakin impian para pemain negara akan menjadi kenyataan sekiranya aspek pembangunan di peringkat akar umbi dan ranking skuad Malaysia berjaya diperbaiki.
“Buat masa ini, peluang pemain Malaysia untuk bermain di kelab ini (Cardiff City) boleh dianggap sebagai sesuatu yang sukar. Banyak aspek perlu diambil kira termasuk masalah permit kerja dan ranking FIFA.
“Namun, kami mengalu-alukan kedatangan pemain dan jurulatih Malaysia di sini. Mereka boleh menjalani latihan di akademi kami, menggunakan segala kemudahan yang ada, berkongsi idea dan menyertai perlawanan yang kompetitif.
“Saya yakin, segala ilmu yang diperoleh di sini mampu membantu pembangunan skuad bola sepak Malaysia,” katanya.
p/s : sudah tiba masanya untuk bola sepak Malaysia maju ke hadapan. :)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...