TV ONLINE

Monday, February 27, 2012

Ariff Zulkifly Terbang Ke Ole Academy Di New Zealand




MISI bekas kapten skuad Bawah 17 Tahun negara, Muhd Ariff Zulkifly untuk mencuba nasib menjadi pemain profesional di luar negara bermula apabila berlepas ke New Zealand semalam bagi mengikuti ujian percubaan di Akademi Bola Sepak Ole di New Zealand.

Ariff yang mendapat tajaan RM15,000 dari Mister Potato selepas kisahnya mendapat liputan Arena Metro akan berada di sana selama tiga bulan bagi memikat pencari bakat di kelab itu. Dia yang terpaksa melupakan tugasnya selaku kapten skuad Piala Presiden Selangor mengaku sudah sedia menempuh cabaran baru demi mengembangkan karier selaku pemain bola sepak. 


“Saya membuat latihan lebih daripada biasa bagi persediaan ke New Zealand, walaupun sebelum ini saya mengalami sedikit kecederaan buku lali kanan tapi sekarang sudah kembali pulih. 


“Memang saya sudah cukup bersedia memberikan yang terbaik, saya harap dapat gunakan pengalaman yang ada,” katanya yang akan berlepas ke Wellington bersama pengurus peribadi, Zakaria Rahim. Ariff, 19, mendapat perhatian Pengarah Akademi Ole, Nate Winkel yang menawarkan tempat menjalani ujian selama tiga bulan dan jika berjaya berpeluang ditawarkan tempat beraksi di kelab Australia, Amerika Syarikat, New Zeland dan Jerman.

Pemain pertahanan kelahiran Ampang itu turut mendapat sokongan jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim dan kapten kebangsaan, Safiq Rahim yang pernah menimba pengalaman berlatih di Cardiff City.

“Jurulatih Irfan ada memberikan kata-kata semangat dan tunjuk ajar kepada saya. Safiq juga turut berkongsi pengalamannya bersama Cardiff dan menasihatkan supaya bermain dengan cara permainan sendiri,” katanya.


p/s : Gud Luck dari kami buat Ariff Zulkifly

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...