Saturday, February 25, 2012

Alasan Kenapa Fakri Tidak Puas Hati Dengan Pemain Jepun



“DIA (Higa Yusuke) yang siku saya terlebih dahulu, tambahan pula ketika itu wisel penamat sudah pun ditiupkan.
“Justeru, spekulasi yang mengatakan saya sengaja membuat provokasi kepada pemain Jepun semata-mata mahu mempengaruhi pengadil melayangkan kad merah kepada mereka sememangnya tidak benar sama sekali."
Demikian penjelasan pemain skuad Olimpik negara, Ahmad Fakri Saarani yang dilihat ‘bertikam lidah’ dengan beberapa pemain Jepun termasuk Yusuke sebaik pasukannya tewas 0-4 dalam aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam Rabu lepas.Ekoran tindakannya itu, Fakri, 22, kini teruk dikecam peminat bola sepak tempatan terutamanya di blog dan Facebook yang menyifatkannya tidak mempunyai semangat kesukanan.
Sebelum ini, penyerang Felda United itu juga sering menjadi sasaran cemuhan peminat gara-gara gagal mempamerkan aksi memberangsangkan setiap kali mewakili pasukan kebangsaan.Mengulas lanjut, Fakri yang mengakui lebih selesa beraksi di bahagian tengah memberitahu, dia bukannya sengaja menyerbu Yusuke selepas itu.

“Saya hanya mahukan penjelasan pemain itu berhubung tindakannya mengasari saya walaupun perlawanan sudah tamat.
“Begitupun, dia sebaliknya mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya sehingga menyebabkan saya kurang sabar,” jelasnya kepada Kosmo!.
Menurut Fakri, dia meminta maaf kepada peminat jika ada yang berasakan tindakannya itu tidak wajar.
“Mereka (peminat) di luar padang mungkin tidak tahu cerita sebenar, jadi saya harap penjelasan saya dapat menjernihkan semula keadaan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Hiroki Sakai, Yuya Osako, Genki Haraguchi dan Manabu Saito masing-masing meledak satu gol buat Jepun yang kini kembali menerajui Kumpulan C dengan 12 mata selepas pencabar terdekat, Syria dikejutkan Bahrain dengan keputusan 1-2.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...