TV ONLINE

Thursday, March 15, 2012

'Jangan baling objek ke padang' - PBSNT



“JAGA tingkah laku dan jaga nama baik pasukan negeri.”

Itu peringatan yang disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh kepada penyokong skuad Penyu menjelang perlawanan kedua Kumpulan F menentang kelab Hong Kong, Kitchee FC dalam aksi Piala AFC minggu depan.
Menurut Che Mat, sebarang perbuatan ataupun tindakan tidak terkawal yang dilakukan penonton tuan rumah seperti membaling objek ke padang hanya akan memberi kesan buruk kepada PBSNT.
Katanya, PBSNT boleh dikenakan denda oleh AFC sebanyak USD5,000 (RM15,915) bagi setiap objek yang dilemparkan ke padang dan situasi itu jika berlaku pastinya merugikan bola sepak Terengganu.
“Piala AFC merupakan kejohanan berprestij dan atas sebab itu, pihak penganjur menetapkan peraturan ketat kepada setiap tuan rumah yang menganjurkan perlawanan ini.
“Kawalan ketat oleh pihak polis bersama pasukan keselamatan juga akan diadakan di setiap pintu masuk stadium bagi memastikan penonton tidak membawa sebarang objek berbahaya,” katanya selepas mengadakan taklimat khas kepada media di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu semalam.
Justeru, Che Mat berharap para penonton dapat memberikan kerjasama dalam memastikan kelancaran perlawanan selain menjaga nama baik pasukan dan negeri.
“Kita tidak mahu hanya kerana perkara kecil sebegini pihak persatuan atau kerajaan negeri yang terpaksa tanggung. Saya hormati kehadiran penonton kerana kejayaan pasukan negeri banyak didorong oleh sokongan daripada mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan PBSNT, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof memaklumkan bahawa tiket bagi perlawanan Piala AFC antara Terengganu dan Kitchee FC pada 20 Mac ini ditetapkan sebanyak RM30 bagi tempat duduk berbumbung dan RM15 bagi tempat duduk terbuka.
“Penonton boleh membeli tiket perlawanan di pintu stadium bermula 19 Mac ini sehingga ke hari perlawanan,” jelasnya yang juga pegawai media Piala AFC.
Terengganu yang layak buat pertama kali pada saingan Piala AFC tahun ini diundi dalam Kumpulan F bersama kelab Kitchee FC, Song Lam Nghe An dari Vietnam dan gergasi Singapura, Tampines Rovers.
Pada perlawanan pembukaan di Stadium Vinh minggu lalu, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Song Lam 1-0.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...