Sunday, March 18, 2012

Kelantan Akan Tetap Bina Stadium Baru

Kelantan bakal memiliki dua stadium baru selain Stadium Sultan Muhammad ke-IV Kota Bharu, Kelantan. 

Kerajaan negeri Kelantan akan meneruskan pembinaan sebuah stadium bola sepak di Bukit Merbau, Pasir Puteh meskipun Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) juga merancang membina fasiliti serupa bernilai RM300 juta di Bandar Baru Tunjong di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood berkata, pembinaan stadium oleh KAFA adalah sangat dialu-alukan kerana ini bermakna negeri ini bakal memiliki tiga stadium termasuk Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang akan merancakkan lagi pembangunan sukan bola sepak tempatan.

"Kita sebenarnya sangat bangga dengan pengumuman KAFA itu dan bersedia memberi apa-apa sokongan dan bantuan teknikal yang diperlukan untuk pembinaan stadium tersebut kerana kerajaan negeri tidak pernah berniat menghalang sebarang usaha pembangunan yang dibuat mana-mana pihak.

"Dalam masa sama, kita tidak akan hentikan perancangan kita di Bukit Merbau kerana mempunyai banyak stadium adalah sesuatu yang baik sebagaiamana contoh bandar raya Seoul, Korea Selatan yang mempunyai kira-kira 10 stadium.



"Kita yakin dengan adanya stadium yang banyak, pelbagai kejohanan mampu dibawa ke Kelantan dan sekali gus melonjakkan semangat rakyat kepada sukan terutamanya bola sepak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pada majlis Anugerah Cakna Rakyat 2011 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini baru-baru ini.Abdul Fatah diminta mengulas kerjasama KAFA dengan sebuah syarikat pembinaan untuk membina stadium berharga RM300 juta di atas tanah milik Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V seluas lapan hektar di Tunjong dekat sini.

Sementara itu, Abdul Fatah berkata, pihaknya berharap proses penambahbaikan kecerahan lampu limpah daripada 900 lux kepada 1,200 lux di Stadium Sultan Muhammad ke-IV akan dapat disempurnakan menjelang perlawanan seterusnya saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada April ini.



Katanya, stadium bagi pasukan The Red Warriors tersebut sebenarnya sudah menepati beberapa spesifikasi yang ditetapkan pihak AFC seperti mempunyai keadaan padang terbaik dan bilik pemain berhawa dingin, sekali gus boleh menjadi tuan rumah untuk perlawanan antarabangsa pada waktu siang hari.

"Kita tidak ada masalah untuk perlawanan sebelah petang dan saya difahamkan perlawanan pertama antara Kelantan dan pasukan Navibank Saigon itu pun diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kerana permintaan kelab Vietnam itu.

"Namun kita tetap berusaha menyiapkan lampu limpah dengan kecerahan yang ditetapkan AFC, sedikit masa diperlukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak sanggup melaksanakannya dalam jangka waktu kurang empat bulan kerana perlu membina beberapa struktur baru," katanya.


2 comments:

  1. keno ado sore gi amik gambar tapok stadium baru tow...

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha yolo tu.
      ejah demo ah boh gi ambik hehe

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...