Friday, March 2, 2012

Gergasi Merah tekad benam Kedah


Rekod cemerlang Selangor ketika menentang Kedah menjadi azimat buat pengendali Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim.
Berdasarkan rekod dalam saingan Liga Super musim lalu, Selangor berjaya menewaskan Kedah 2-0 pada aksi di laman sendiri dan di gelanggang lawan. Justeru, Irfan berharap skuad kendaliannya dapat meneruskan rentak kemenangan ke atas Kedah apabila kedua-dua pasukan itu bertembung di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
“Rekod Selangor ketika bertemu Kedah setakat ini masih baik berdasarkan dua pertemuan musim lalu dalam Liga Super.

“Saya mahukan pemain-pemain saya meneruskan rekod tersebut pada perlawanan malam esok (malam ini).
“Begitupun, saya berharap para pemain tidak memandang mudah kemampuan Kedah selepas jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan kembali mengemudi pasukan itu.
“Kita dapat saksikan peningkatan Kedah terutama daripada segi psikologi sejak Wan Jamak kembali,” kata Irfan Bakti kepada Kosmo! semalam.
Ditanya mengenai Selangor yang dilihat mula bergantung kepada awang import baharu, Bosko Balaban, Irfan menepis dakwaan tersebut dengan mengatakan kehadiran penyerang yang berasal dari Croatia itu sebagai ‘suntikan semangat’ buat pasukannya. Biarpun mengakui jentera serangan Selangor semakin mantap selepas kehadiran Balaban, namun Irfan tetap menganggap kejayaan Gergasi Merah ketika ini adalah hasil daripada kerja berpasukan.
“Kami tidak hanya bergantung kepada Balaban, tetapi kehadiran Balaban memberikan kami satu semangat kepada pasukan.
“Kami beraksi sebagai satu pasukan. Benar sebelum ini kami memiliki masalah serangan, tetapi dengan kehadiran Balaban, Amri (Yahyah) juga sudah mula menjaringkan gol.
“Jadi, tidak benar untuk mengatakan Selangor terlalu bergantung kepada seorang pemain sahaja,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...